Ketagihanku
- Aini Ali | Kembara Nusa
- Mar 14, 2017
- 6 min read

Nama aku Amirul. Umur aku 13 tahun. Seorang pelajar yang sentiasa cemerlang
dalam apa jua subjek. Tidak pernah sekali pun dalam hidupku , aku gagal.Dalam hidupku ,tiada istilah gagal. Ibu dan ayahku sentiasa mengingatkan dirku untuk memberikan yang terbaik dan mendapatkan tempat yang pertama di dalam kelas. Setiap kali aku cemerlang dan muncul sebagai pelajar yang terbaik di dalam kelas , aku akan dapat ganjaran daripada mereka berdua. Ganjaran yang mereka akan berikan kepadaku adalah mengikut kehendakku. Apa yang aku inginkan aku akan dapat.Beruntung bukan aku?
Hidupku terlalu bahagia dengan pelbagai kebendaan yang aku dapat daripada ibu bapaku. Mungkin akulah anak yang paling bahagia apabila kesemua kehendakku dituruti oleh ibu bapaku. Mungkin akulah anak yang lengkap dengan segala-galanya. Mungkin akulah anak yang paling beruntung sekali kerana sangat disayangi oleh ibu bapaku. Atau mungkin aku langsung tidak memiliki kasih sayang mereka?
Sejak aku kecil lagi , ibu bapaku sudah memberiku sebuah ‘iPad’ untuk aku gunakan untuk main permainan yang ada di dalam alat itu. Setiap kali aku berasa bosan ‘iPad’ itu jugalah yang aku cari. Ibu dan bapaku seringkali tiada di rumah sehingga menyebabkanku berasa bosan. Disebabkan itulah aku mengisi kebosananku dengan menggunakan ‘iPad’. Namun, semakin aku menginjak dewasa , aku rasa alat itu seperti tiada guna lagi. Aku berasa kosong sangat. Sunyi . Sepi. Langsung tiada kegembiraan. Aku kesunyian tanpa ibu bapaku.
Setiap kali aku selesai menelaah pelajaranku , aku terpinga-pinga. Aku tidak tahu hendak buat apa. Malam masih siang untuk aku tidur. Walaupun sudah pukul 9 malam, ibu bapaku masih belum pulang ke rumah. Aku merenung alat mainan ‘Xbox’ku yang baru sahaja dibelikan oleh mereka kerana keputusanku yang cemerlang pada dua minggu yang lepas. Perlu ke aku main lagi?
Keesokan harinya…
“Eh Mirul! Mirul! Mirul! Marilah sini!” Azman meneriak memanggil namaku.
Aku berjalan menuju ke arah Azman dan Amir.
“Mirul , engkau nak tak ikut kita petang ni?” kata Azman.
“Nak pegi mana?”,aku pula membalas.
“Engkau nak tak jadi popular?Kita bercadang untuk membuat video petang ini dan lepas itu kita muat naik dekat media sosial.Kalau kita dapat banyak ‘likes’ kita mesti terkenal punya!,” giliran Amir pula menjawab pertanyaanku.
Aku tercengang buat seketika. Video? Popular? Untuk apa ya? Apa faedahnya?
“Engkau tidak perlu fikir panjang , ikut sahaja kami .Mesti tidak menyesal punya!Sudah sudahlah belajar dekat rumah. Ujian sudah tamat pun. Sekarang inilah engkau patut berehat dan berseronok,”Azman menokok.
Ada benar juga kata Azman. Otakku ligat berpusing untuk memberi kata putus. Ada baiknya juga aku mengikut mereka . Bukannya apa , tetapi aku selalu bosan setelah menelaah.Oleh itu , apa salahnya aku membuat sesuatu yang baharu untuk mengisi kekosonganku ini?
Tanpa berlengah lagi , aku terus bersetuju untuk menyertai rakan-rakanku melaksanakan aktiviti mereka pada petang itu.
Ternyata tidak sia-sia aku mengikut pelawaan mereka untuk menyertai mereka melakukan aktiviti yang mereka rancangkan.Azman dan Amir telah merancang untuk membuat video di mana mereka akan menunjukkan aksi tarian ‘Hip Hop’ yang sangat menarik. Aku di situ perlu menjadi perakam gerak geri mereka. Mereka berjoget dengan lincah dan dengan penuh semangat sehingga membuatku teruja buat seketika. Melihat mereka berjoget , aku juga terasa ingin menari.
“Baiklah Mirul!Engkau ini hebatlah.Cara kau rakam bagus sangat!Bakat kita menari lebih menonjol oleh kerana kepakaran engkau merakam,” Azman bersuara.
“Man , kalau aku nak ikut kau dan Amir menari sekali boleh? Aku tengok macam seronok sangat.Ajar aku menari boleh?” aku menyuarakan hasratku kepada mereka.
“Boleh sangat.Boleh blah lah kau!” Amir membalas dengan nada yang mengejek.
Aku ditinggalkan di situ terpinga-pinga. Sampai hati mereka buat aku seperti itu. Lembik sangat ke aku ini?Kental sangat ke aku ini? Mereka ingat aku tidak boleh menari?Atau mereka tidak mahu aku jadi popular seperti mereka?
“Ini Amirul lah. Amirul tidak mudah kalah. Mereka belum kenal aku siapa. Tunggu dan lihat sahaja. Aku pasti akan lebih popular dari mereka,”suara mindaku berbisik.
Malam itu juga , aku mulakan rencanaku. Aku mulakan rencanaku dengan melihat beberapa video tarian. Dengan adanya lelaman web‘YouTube’ , begitu mudah untuk aku belajar menari. Perlahan-lahan aku dapat menangkap gerak tari yang dilakukan dalam video tersebut. Tersenyum simpul aku tatkala melihat diriku yang sudah mempelajari tarian ‘Hip Hop’ hanya dalam satu hari sahaja walaupun tarianku belum pun selincah mereka berdua.
Semakin hari aku semakin terlalu taksub untuk membuktikan pada Azman dan Amir yang aku boleh menjadi lebih termashyur daripada mereka berdua. Semenjak peristiwa hari itu , kami langsung tidak bertegur sapa. Kami membuat haluan masing-masing.
Kerana masih tidak puas hati dengan mereka , aku juga turut memuat naik videoku menari di laman media sosialku.Aku merakamkan detik-detikku untuk belajar menari sehinggalah aku dapat menari dengan lebih baik . Hampir setiap hari aku melungsuri Internet dan media sosialku untuk melihat video-video tarian ‘Hip-hop’.Bukan itu sahaja yang aku lakukan setiap hari ketika aku berada di rumah.Malah, aku juga memastikan yang aku mempunyai banyak pengikut dalam laman media sosial. Ketika itu , aku hanya memuat naik videoku ke laman media sosial iaitu,’Instagram’. Kini , setelah mendapat ramai pengikut , aku mula memuat naik videoku ke ‘YouTube’.Semakin hari , semakin ramai orang yang menonton videoku. Berbanding dengan Azman dan Amir , aku meraih lebih banyak pengikut. Aku berasa sangat puas kerana dapat menewaskan mereka.
Namun , aku tidak sangka akibat dendamku terhadap mereka ,aku menjadi seorang yang lain. Aku menjadi seseorang yang di luar jangkaanku.
Entah kenapa, aku seperti taksub dengan media sosial. Hampir setiap minit aku perlu menggunakan telefon bimbitku untuk memastikan yang aku mempunyai banyak "likes" untuk videoku.Aku tidak lagi merakamkan dirku menari. Malah, aku juga membuat rakaman video reviu permainan. Setiap kali aku membuat reviu permainan seperti 'Xbox' , aku perlu merakam saat itu secara langsung untuk pengikutku melihat video itu pada masa yang sama.
Semakin hari, semakin aku popular.Aku mempunyai ramai pengikut dan pengikutku kini sudah menginjak ribuan orang.Ramai pengikutku gemar dengan video yang aku rakamkan. Justeru, aku mempunyai banyak permintaan video daripada mereka.Setiap hari aku menerima permintaan video daripada mereka dan aku tahu yang aku perlu menurut permintaan mereka.Jika aku tidak mengendahkan permintaan mereka,aku pasti kehilangan ramai pengikut.Aku tidak mahu perkara sebegitu berlaku. Kesemua yang aku usahakan membuahkan hasil. Aku juga diberikan wang hasil daripada rakaman video yang aku lakukan.Mana mungkin aku lepaskan peluang seperti itu.
Tanpa aku sedari, kegiatanku itu telah menghambat dirku daripada fokus kepada pelajaran.Aku hilang tumpuan di kelas kerana fikiranku hanya dibiarkan menerawang memikirkan tentang idea untuk membuat videoku.Aku juga sudah tidak lagi menelaah pelajaranku setiap kali aku pulang ke rumah.Boleh dikatakan aku menggunakan media sosial hampir 24 jam untuk mencari pengikut dan mendapat perhatian orang ramai melalui media sosial.Perbuatanku ini kadangkala telah mengakibatkanku untuk lupa makan. Aku boleh bertahan tanpa makanan selama beberapa hari. Melihat media sosialku sudah cukup untuk membuatku rasa kenyang. Terutama sekali apabila aku mendapat banyak pujian daripda orang ramai.
Di sekolah, ramai pelajar perempuan yang kerap mendekatiku semenjak aku menjadi popular di media sosial.Aku terasa sangat disayangi oleh orang ramai.Segala perhatian dan tumpuan diberikan kepadaku. Azman dan Amir? Mereka sudah lama putus sahabat denganku. Ibu dan bapaku? Mereka langsung tidak tahu menahu tentang keadaan diriku. Sehinggalah pada...
"Amirul Bin Fakhri! Keluar kau daripada bilik ini! Keluar sekarang! Ayah cakap keluar sekarang!"bapaku terjerit-jerit sambil mengetuk pintu yang seperti hendak roboh diketuk bertalu-talu.
Bingit!Bingit! Aku terus membuka pintu bilikku dengan wajahku masam mencuka.Tanpaku duga…
Pang!
“Ayah! Apa ni sampai kena sepak mirul?!”aku bersuara dengan nada yang kasar.
“Engkau memang anak yang tidak beruntung. Apa yang engkau nak semua kami beri tetapi apa yang kau lakukan. Dah lebih seminggu engkau ponteng sekolah.Sebab apa?Sebab taksub sangat dengan media sosial kau yang tak berguna.Kegiatan kau itu langsung tiada gunanya. Semua kerja bodoh tahu!” tengking bapaku.
Ibuku hanya merenungku dari jauh dengan wajah yang sangat sugul tatkala bapaku melempang wajahku.
“Ayah langsung tak tahu apa-apa! Bodoh? Amirul tidak bodoh ayah! Amirul buat ni semua sebab ayah! Ayah dan ibu langsung tak ambil peduli tentang Mirul. Apa ayah ingat dengan memberi hadiah untuk Mirul , itu akan membuat Mirul gembira?Langsung tidak! Mana pergi kasih sayang ibu dan ayah Mirul?Lebih baik Mirul tidak ada ibu dan ayah!”terasa puas aku meluahkan segala isi hatiku ketika itu.
“Kurang ajar! Anak tidak sedar diuntung!”ayahku meneriak seraya melayangkan tapak tangannya ke mukaku buat sekian kali lagi.
Aku tidak sedar kata-kata yang dihamburkan olehku ibarat halilintar yang menyambar dengan tiba-tiba.Setiap butiran yang keluar dari bibirku telah menghiris kedua insan yang telah membesarkanku selama ini. Kata-kata seorang anak yang derhaka menusuk terus ke hati . Ya Allah, apa yang telah terjadi? Mengapa aku terlalu taksub dan hanyut dalam alam fantasi media sosial yang akhirnya membinasakan diriku.
Dek tamparan yang kuat di pipiku itu , aku terus pengsan. Namun , bukan itu sahaja. Tamparan itu membuatku terpukul kembali ke alam yang nyata. Aku telah banyak berubah.Amirul yang dahulu bukan yang sama seperti Amirul yang sekarang yang mengejar nama di dunia media sosial. Aku diselubungi dengan seribu penyesalan.
Perangaiku bukan sahaja berubah 360 darjah malah aku telah menyebabkan kesihatanku terjejas sekali.Badanku kekurangan nutrien dan air sehingga menyebabkan badanku lemah dan pengsan tatkala aku ditampar oleh bapaku.
Sedar sahaja aku berada di dalam wad hospital .Ibu dan bapaku masih setia menemani diriku.
“Ibu , ayah maafkan Mirul”,aku berkata sambal teresak-esak.
“Kalau Mirul sayangkan kami , Mirul kena berubah dan jumpa kaunselor?Boleh sayang?”ibuku bersuara dengan suara yang serak.
Aku memeluk kedua-dua ibu bapaku.Aku nyaris-nyaris hilang nyawaku kerana tidak makan selama seminggu.
Nama aku Amirul. Umur aku 13 tahun dan kini aku adalah Amirul yang baharu. Kini, aku masih lagi dalam proses pemulihan. Akibaat ketagihanku menggunakan media sosial , aku terpaksa melalui semua ini. Aku sedar aku perlu perbaiki diriku sekarang.Aku tidak aku lupa semua ini.Kerana taksub aku hilang diriku yang sebenar.Kerana taksub aku hampir kehilangan orang yang aku sayangi. Kerana taksub akhirnya aku yang binasa.
TAMAT
留言