top of page

Carik-carik bulu ayam , lama-lama bercantum juga

  • Aini Ali | Pena Emas
  • Mar 14, 2017
  • 9 min read

26hb Julai 2015

“Jangan abang! Tolong abang! Jangan pukul Idah lagi. Tolong Syafiq! Idah merayu pada abang jangan! Syafiq!!!”, Syahidah meraung kesakitan.


Tatkala itulah, Syahidah terbangun daripada mimpinya dan Sufyan berada di sebelahnya sedang menenangkannya dengan membacakan kalimah-kalimah suci di cuping telinganya.Syahidah pantas memeluk Sufyan yang berada di sebelahnya itu. Pelukannya kemas dan sangat erat di pinggang Sufyan.Sufyan yang masih menenangkannya itu membalas pelukan Syahidah dan mengucup dahi Syahidah sebagai tanda bahawa Syahidah selamat di sampingnya.


“Syahidah sayang, janganlah menangis lagi abang sentiasa ada untuk Idah.Idah tidak perlu takut lagi dengan bayangan Syafiq. Syafiq sudah bukan lagi suami Idah. Sekarang abang adalah pelindung Idah. Jangan khuatir Idah, abang janji akan berada bersama Idah dan jaga Idah sehingga akhir hayat abang. Pegang janji abang…Abang sayang sangat dengan Idah.Syhh jangan menangis lagi ya?”, Sufyan membisik kepada Syahidah sambil mengusap rambut Idah.


Esakan Idah mula reda dan Idah kembali tenang.


“Terima kasih abang . Idah bersyukur sangat abang ada di samping Idah.Idah pun sayangkan abang sangat-sangat”, Idah mengeluarkan segala isi hatinya kepada suaminya.


Demikianlah yang berlaku setiap malam.Trauma yang menghantui Idah masih belum meninggalkan diri Idah. Tragedi yang berlaku 4 bulan yang lalu telah meninggalkan parut yang sukar untuk pulih dalam hidup Idah. Kekesalan bukanlah apa yang dirasakan daripada kehidupan rumah tangganya bersama Syafiq , tetapi kemurungan yang dirasainya setiap hari. Rumah tangga merupakan satu mahligai yang indah. Namun indahkah mahligai yang dibinanya bersama Syafiq? Rumah tangga yang dibina lazimnya kerana atas dasar cinta namun rumah tangga Syahidah dan Syafiq jauh sekali bukan atas dasar cinta. Mereka mengenali satu sama lain sebelum bernikah tetapi mereka tidak pernah bercinta. Syahidah nekad untuk belajar mencintai Syafiq. Akan tetapi , lain yang diharapkan , lain perkara yang berlaku. Perkara yang langsung tidak diingini oleh seorang isteri berlaku kepada diri Syahidah. Apa dosa Syahidah kepada Syafiq sehingga Syafiq sanggup memperlakukan dirinya sebegitu? Syahidah juga bingung memikirkannya. Disebabkan amanah seorang ibulah Syahidah terpaksa menanggung kehidupan yang penuh dengan kesengsaraan.


28hb November 2014


Syahidah merupakan salah seorang klien di pejabat Sufyan dan Syafiq. Penglibatan pekerjaan mereka kerap menemukan mereka semua bersama Syahidah. Daripada setiap temujanji pekerjaanlah di mana cinta mula berputik di antara Sufyan dan Syahidah. Pada mulanya Sufyan berasa gentar kerana takut cintanya ditolak oleh Syahidah. Akan tetapi, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Setiap kali Sufyan mengajaknya keluar, Syahidah tidak pernah mengecewakannya. Mereka sering keluar makan malam bersama di restoran dan berborak-borak panjang untuk mengenali satu sama lain dengan lebih dekat lagi. Mereka berdua ibarat pinang dibelah dua. Setiap kali bersama semasa makan malam, mereka kelihatan sangat bahagia bak merpati sejoli. Namun disebalik kebahagiaan mereka, ada yang sedang merundung duka. Dari jauh , dia hanya dapat menjadi seorang pemerhati. Dari sejak dia kenali Syahidah sehingga Sufyan bercinta dengan Syahidah, dia kerap kali menjadi pemerhati. Dia adalah Syafiq, adik kepada Sufyan yang juga merupakan rakan kerja Syahidah.Sejak dari pandangan pertama, Syafiq sudah menaruh hati terhadap Syahidah.Syahidah merupakan gadis molek cantik yang bertudung serta sopan santun dan mempunyai budi pekerti yang mulia.Oleh itu, tidak hairanlah jika kedua-dua adik beradik ini boleh jatuh cinta dengan Syahidah .


Malam itu, hati Syafiq bagai ditoreh. Pedihnya tidak terkata apabila melihat abangnya melamar Syahidah pada malam itu.Sungguh dia tidak sangka bahawa abangnya lebih pantas menawan hati Syahidah.


“Argh!!! Apa kurangnya aku Syahidah! Kenapa engkau tidak dapat lihat cinta dan kasihku terhadapmu?Mengapa Sufyan? Apa kelebihannya? Ah!!!” Syafiq menjerit sekuat-kuatnya setelah meninggalkan restoran itu dengan hati yang remuk ibarat kaca yang jatuh ke lantai dan terhempas sehingga berkecai.


Syafiq bengang. Syafiq bengang kerana abangnya telah merampas wanita idamannya!Semenjak hari itu, perangai Syafiq berubah. Dia mula balik lewat dan sering mabuk sehingga pada suatu malam…


“ Emak! Syafiq cintakan Syahidah emak tetapi kenapa abang yang dipilihnya?” Syafiq mengeluarkan isi hatinya pada suatu malam ketika dia terlalu mabuk.


Emaknya hanya terdiam melihat keadaan anaknya yang tidak terurus itu. Pilu hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan begitu. Dia tidak sampai hati langsung untuk memarahi anaknya itu. Dia tahu anaknya itu terlalu kecewa dengan cinta yang tidak dibalas.Oleh kerana itu, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan Syahidah melalui Sufyan pada hari yang seterusnya.


1hb Disember 2014


“Emak, ini Sufyan kenalkan Syahidah. Dialah wanita yang mempunyai tempat yang istimewa dalam hati Yan selain emak,” Sufyan memperkenalkan Syahidah kepada emaknya.


“Oh,inilah Syahidah. Pandai Yan cari bakal isteri.Manis dan tenang sahaja emak tengok wajahnya Patutlah Yan pun terpaut dengannya,” emak Sufyan pula bersuara.


Syahidah hanya tersenyum sehingga menampakkan lesum pipitnya. Terasa darah menyerbu ke mukanya kerana malu dipuji oleh bakal ibu mertuanya.


Emak Sufyan telah menyuruh anaknya untuk membawa pulang Syahidah pada malam itu untuk dia mengenali wanita yang menjadi kegilaan kedua-dua anaknya. Dia tidak dapat menafikan bahawa Syahidah merupakan seorang wanita yang cukup sempurna untuk dijadikan isteri untuk salah satu anaknya.Disebabkan itu, dia nekad untuk membuat keputusan yang dia rasakan adalah terbaik untuk Syafiq dan Sufyan.


Setelah makan malam selesai, emak Sufyan memulakan bicaranya.


“Sebenarnya emak ada hajat untuk Idah.Emak sebenarnya…sebenarnya mahu meminang Idah untuk anak mak cik Syafiq,” emak berbicara dengan berteru terang.


“Haha!Emak ini buat lawak ya? Yang nak bernikah dengan Syahidah ialah Sufyan bukan Syafiq mak…” giliran Sufyan pula berbicara.


“Emak tahu Yan , engkau hendak berkahwin dengan Idah tetapi emak mahu Idah berkahwin dengan Syafiq. Emak merayu sangat pada Idah, tolonglah tunaikan permintaan emak. Yan tolonglah faham. Idah sahaja yang boleh selamatkan Syafiq.Emak bagi Idah tempoh seminggu untuk berfikir.Emak harap Idah tidak mengecewakan emak,”luah Emak.


Syahidah yang berada di situ hanya terdiam kaku. Dia tidak boleh berkata apa-apa langsung..Semua berlaku dengan terlalu pantas. Dia mati akal. Sufyan terus mengangkat kaki dan keluar dari kediamannya.Setelah beberapa saat berlalu barulah Idah dapat berfikir dan dia terus mendapatkan penjelasan daripada emak Sufyan.Emak Sufyan bercerita dengan Idah daripada mula sehinggalah ke bahagian akhir. Kini, barulah dia mengerti mengapa Syafiq berbuat demikian. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya. Rupa-rupanya kehadirannya dalam hidup dua jejaka itu telah menyebabkan hubungan adik-beradik itu menjadi renggang. Oleh itu, emak Sufyan membuat permintaan sebegitu kerana dia yakin Sufyan akan berkorban demi melihat orang yang disayanginya gembira. Syahidah seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dia buntu. Pada malam itu, Syahidah pulang ke rumah dengan fikiran yang kusut.Dia hanya mempunyai seminggu dan dialah yang menentukan segalanya.


“Apa yang harus aku lakukan ini? Aku sayangkan Sufyan… Tetapi Syafiq ? Bagaimana dengannya? Kerana akulah dia sebegini sekarang,” Syahidah bermonolog sendirian di rumah.


Pada hari terakhir tempoh itu, akhirnya Syahidah membuat keputusan. Setelah banyak melakukan solat istikharah, akhirnya dia menjumpai jawapannya. Dia yakin dengan keputusan ini walaupun dia tahu yang dia akan melukakan insan yang sangat disayangi.


7hb Disember 2014


“Emak, Idah datang ke sini dengan membawa keputusan Idah. Idah akan tunaikan permintaan emak. Idah buat ini semua atas permintaan emak ,” tutur Idah dengan nada yang mendatar.


Emak Sufyan hanya menitiskan air mata kesyukuran kerana permintaannya dapat ditunaikan. Kalau boleh, dia mahu Syafiq berubah sebelum dia menutupkan matanya buat selamanya.


1hb Januari 2015


Tarikh ini merupakan tarikh keramat bagi Idah. Hari ini dia bakal bergelar isteri. Isteri kepada Syafiq. Syahidah tidak merasakan dirinya bahagia seperti pengantin perempuan yang lain. Malah, dia tidak rasa gembira mahupun sedih. Syahidah hanya redha sahaja. Berlainan bagi Syafiq. Syafiq sangat teruja. Setelah diberitahu emaknya bahawa emaknya telah meminangkan Idah untuknya, Syafiq begitu gembira sekali sehingga bersorak. Sufyan pula hanya diam sahaja. Walhalnya, hatinya hancur luluh melihat ijab dan kabul adiknya bersama wanita idamannya.Sebagai abang, dia terpaksa menelan kepahitan yang sedang dialaminya.Permintaan emaknya itu merupakan perkara yang hanya diketahui oleh emak, Idah serta dirinya. Dia perlu menyimpan rahsia ini atas kehendak emaknya.


“Sah!”


Akhirnya pernikahan telah selamat berlangsung. Air mata Syahidah meluncur keluar dari kelopak matanya. Adakah keputusan yang aku buat ini betul? Terima sahajalah Syahidah ini jodoh engkau. Bisikan ini bermain di benaknya.Hatinya menjadi lebih sayu tatkala terpandang Sufyan.Emak mertuanya hanya memeluk bahunya erat.dia mengerti akan perasaan Idah.Maafkan Idah Sufyan…


Kehidupan Idah pada hari yang selanjutnya dilalui seperti biasa. Dia sedar akan statusnya sekarang. Dia cuba melayan Syafiq dengan baik dengan harapan yang dia dapat menyayangi Syafiq seperti mana dia pernah menyayangi Sufyan. Syafiq pula semakin berseri mukanya.Maklumlah, impiannya sudah tercapai. Sufyan pula telah pergi membawa diri setelah ijab dan kabul adiknya telah selesai. Idah sudah sedikit sebanyak dapat mengenali Syafiq dan beliau dapat menerima hakikat bahawa sudah jodohnya bersama Syafiq. Sehinggalah pada suatu hari…


1hb Februari 2015


“Idah!!! Mari sini engkau! Ini apa ini? Kenapa engkau masih simpan gambar Sufyan dalam telefon bimbit engkau. Engkau masih cintakan dia kan?” tengking Sufyan kepada Syahidah sambil menarik rambutnya.


Belum sempat pun Idah berkata apa-apa Syafiq sudah pun menampar pipi Idah sehingga mulut Idah berdarah. Syafiq menumbuk Idah tanpa menghiraukan pun rayuan isterinya. Dia seperti dirasuk syaitan sehingga memukul isterinya dengan begitu teruk.Idah menangis tidak berlagu. Kesakitan yang dirasai sungguh tidak terkata.Apa salahnya?


Hari yang selanjutnya, kejadian Idah dipukul lagi berulang sekali lagi.Kali ini dia dipukul kerana tidak menyediakan Syafiq makan. Setiap kali dipukul, dia dimarahi dan dimaki hamun. Syahidah sudah tidak tahu hendak buat apa. Hendak mengadu pada emaknya pun emaknya sudah meninggal dunia setelah seminggu mereka bernikah.Idah tidak dapat menyediakan makanan untuk suaminya kerana dia sakit. Badannya terlampau sakit sehingga tidak larat untuk masak.


Hari demi hari berlalu, hampir setiap hari Idah dipukul dan dimaki hamun oleh Syafiq. Sehinggalah satu hari Syahidah sudah tidak dapat lagi menahan daripada menjadi mangsa pukul Syafiq.Dia hendak lari dari rumah tetapi Syafiq lebih pantas bertindak.


“Oh , engkau hendak lari ya? Lari ke mana? Nah rasakan. Isteri derhaka!Aku ceraikan engkau!” Syafiq mengherdiknya dan menumbuk perut Idah pada masa yang sama.


Idah dapat merasakan kesakitan yang luar biasa di perutnya. Dia melihat keadaan dirinya. Ya allah! Darah! Ketika itu, Syafiq sudah pun keluar dari rumah. Idah sudah tidak berdaya lagi.Mujur telefon bimbitnya berdekatan dengan dirinya. Lantas, dia menekan punat nombor untuk menelefon Sufyan.Hanya Sufyan sahaja yang dapat membantunya.


7hb Februari 2015


Idah terbaring lesu di katil hospital.Dia kelihatan cengkung dan badannya masih membengkak akibat kesan pukulan Syafiq.Sufyan yang berada di situ memandangnya sayu.Dia simpati sangat kepada Idah. Wanita kesayangannya itu rupa-rupanya tidak bahagia selama ini.Doktor mengesahkan bahawa Idah mengalami keguguran akibat hentakan yang kuat di perut sehingga menjejas kandungan.Idah juga disahkan mengalami trauma dan kemurungan akibat perbuatan Syafiq.


Syafiq telah dihantar ke pusat untuk menerima rawatan bagi memulihkan keadaan emosinya.Sufyan terpaksa melakukan sebegitu untuk memulihkan keadaan adiknya itu.Idah pula telah bercerai dengan Syafiq setelah talak dijatuhkan.


“Yan, kenapa Syafiq berkelakuan begitu?”,tutur Idah perlahan.


Sufyan memulakan penjelasannya. Rupa-rupanya semenjak sebelum mereka berkahwin lagi Syafiq sudah bersikap dingin dengan Sufyan.Semasa Sufyan bersama dengan Idah, Syafiq selalu mencari fasal dengannya tidak kiralah dari apa sudut.Semenjak Syafiq berkahwin pula dia sering mengugut Sufyan agar menjauhi Idah. Ugutan demi ugutan akhirnya menjadi perbalahan yang besar antara dua beradik. Disebabkan itulah Syafiq menjadi berang dengan Idah ketika dia terjumpa gambar Sufyan di dalam telefon Idah.Dan setiap malam jugalah Syafiq akan berjumpa dengsn Sufyan dengan perasaan bengangnya.Hampir setiap hari mereka berdua bertengkar dan kesudahannya apabila Syafiq pulang ke rumah, tempiasnya terkena kepada Idah. Kasihan Idah menjadi mangsa akibat perbalahan antara dua beradik ini.Idah mengalirkan air matanya.


Empat bulan berlalu…



20hb Julai 2015


Syafiq keluar dari pintu masuk ofis.Syafiq kini membuka lembaran yang baru. Dia sudah mendapat pekerjaan di tempat lain dan alhamdulillah keadaannya sudah pun stabil.Dia sudah pun menerima hakikat bahawa dia bukanlah suami yang terbaik buat Idah. Kini, dia juga telah berkenalan dengan seorang gadis yang betudung yang sama cirinya dengan Idah.Dia nekad yang dia akan melakukan yang terbaik untuk memikat gadis ini.Sedang dia berjalan, dia terlanggar bahu seseorang.


“Maaf ya dik,abang minta maaf terlanggar adik pula,” tutur jejaka yang dilanggar Syafiq itu.


“Oh, tidak apa abang…eh Abang Yan!” Syafiq terjerit buat seketika.


Syafiq merenung diri abangnya itu.Di sebelahnya pula adalah Syahidah.Mereka berdua saling berpegang tangan.


Syafiq tidak tahu hendak berkata apa dan hanya terus beredar tanpa sepatah kata.Dia berasa sebak buat seketika. Kini abang dia sendiri yang menjadi pengganti dirinya.Syafiq pulang ke rumahnya dan memasuki bilik emaknya.


“Emak,Syafiq rindu emak.Emak kenapa hidup Syafiq begini emak?”rintih Syafiq.


Tatkala itu dia terpandang diari emaknya.Lantas, dia membukanya untuk membacanya.Syafiq terperanjat membaca isi kandungannya.


1hb Disember 2014


Hari ini, aku telah menjemput Syahidah ke rumah aku. Aku terpaksa mengecewakan Yan dengan meminangkan Idah untuk Syafiq. Aku lakukan semua ini untuk Syafiq. Aku tidak sanggup melihatnya merana.Biarlah perkara ini menjadi rahsia antara aku, Idah dan Sufyan. Syafiq tidak perlu tahu bahawa aku yang merayu pada Yan untuk melepaskan Idah untuk Syafiq.Aku tahu Sufyan seorang anak yang baik dan aku tahu yang dia akan berkorban apa sahaja demi keluarganya.Aku harap Syafiq berubah setelah ini.


Terjatuh buku diari itu daripada genggaman Syafiq.Ya Allah! Syafiq telah berdosa! Syafiq selalu menuduh Yan perampas kebahagiaan Syafiq tetapi Syafiq yang sebenarnya perampas!Perampas kebahagiaan abangnya sendiri! Syafiq berdosa juga terhadap Idah…Apa yang Syafiq sudah lakukan ini…

22hb Julai 2015


“Assalamualaikum abang, Idah,” salam diberikan oleh Syafiq setelah dia tiba di kediaman Sufyan dan Idah.


Sejurus sahaja Sufyan membuka pintu rumah, Syafiq terus meluru ke arahnya dan memeluk erat abangnya sambil memohon keampunan dari abangnya.Sufyan tidak percaya bahawa adiknya itu telah kembali kepada dirinya dahulu. Sufyan turut membalas pelukan adiknya dan memohon keampunan dari Syafiq juga.


“Yan, Syafiq minta maaf.Syafiq tidak tahu pun abang dan Idah sanggup berkorban demi Syafiq.Idah maafkan aku juga .Aku pentingkan diri aku sendiri. Aku salah.Maafkan dosa aku ya?” Syafiq menuturkan kata-katanya dengan nada kekesalan.


Akhirnya episod perbalahan antara Syafiq dan Sufyan sudah berakhir. Ia berakhir dengan kekesalan dan keampunan dari kedua-dua pihak.


26hb Julai 2015

Syahidah baring di samping Sufyan yang sudah terlelap setelah Sufyan penat memujuknya tadi.Dia merenung wajah suaminya .Wajahnya yang tulus ini yang mendamaikan Idah. Trauma yang masih dihadapi Idah ditangani Sufyan dengan tenang dan tidak pernah sekali dia merungut.Syahidah memanjatkan kesyukuran terhadap Ilahi kerana segalanya sudah berakhir. Ini takdir yang tertulis untuk dirinya, Syafiq dan Sufyan. Syahidah redha akan ketentuanNYA.Syahidah sudah tertulis jodohnya bersama Sufyan. Yang mengembirakan Idah lagi ialah apabila hubungan Syafiq dan suaminya sudah kembali seperti biasa.Syafiq sudah mempunyai kehidupannya sendiri.Sufyan dan Syafiq kerap berjumpa untuk bertanyakan khabar.Benarlah seperti apa yang dikatakan bak kata pepatah, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum semula.Perbalahan antara adik-beradik tidak akan memutuskan perhubungan mereka.Tidak akan pernah sesekali.


TAMAT

 
 
 

Comments


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
bottom of page